PENGALAMAN MENUNAIKAN HAJI - OPERASI MUSIM HAJI MMMSL 1438H 2017

Melaksanakan Tawaf dan Saie Haji

Suasana di Haram selepas Solat Maghrib di level paling atas


Kami diberi cuti selama 3 hari selepas selesai operasi tren musim Haji oleh pihak pengurusan. Di kesempatan ini aku dan rakan-rakan dapatlah melaksanakan Tawaf Haji dan Saie di Masjidil Haram. Hampir 10 hari kami tidak ke Masjidil Haram. Terasa rindu untuk bersolat di sana. Kali ini aku ingin menghabiskan masa yang lama untuk berada di masjidil Haram. 


Suasana ketika Saie di level 2

Ketika ini jemaah terlalu ramai di Masjidil Haram. Hampir disetiap ruang dan level penuh dengan jemaah. Jika anda lambat sudah pasti Pihak keselamatan tidak akan membenarkan anda masuk di tingkat paling bawah berdekatan Kaabah. Suasana disini berbeza sama sekali dari sebulan yang lalu. Kami terpaksa melaksanakan Tawaf dan Saie di level 2. 



Seperti yang selalu diceritakan oleh sahabat dan keluarga yang pernah menjalankan ibadah Umrah dan Haji, Setiap jemaah disini berbeza budaya dan cara mereka bila melaksanakan Tawaf dan Saie. Ada yang datang berkumpulan dan berzikir dengan kuat sekali dan merempuh jemaah lain. Ada yang berebut-rebut untuk memasuki Hijir Ismail sehingga pihak keselamatan terpaksa berkeras. Ada yang merempuh tanpa menghiraukan jemaah lelaki atau perempuan untuk mencium Hajarul Aswad, dan pelbagai lagi cara mereka yang dapat kita lihat. Inilah cara segelintir jemaah yang kadang-kadang membuatkan kita rasa kurang senang. Tetapi apalah daya kita untuk menghalang mereka. Bagi aku jika ada rezeki kita, adalah... 


Suasana di luar Haram



Diperkarangan Masjidil Haram penuh dengan jemaah yang duduk dan memenuhi luar masjid untuk berehat dan makan sambil menunggu waktu solat seterusnya. Terus terang aku kata, jika anda memijak sahaja lantai masjid ini biarpun diluar, anda akan rasa sejuk sahaja biar pun cuaca panas di luar sana.  Memang tenang sahaja terutama di waktu malam. Aku suka melihat pekerja pembersihan di Masjidil Haram ini bekerja. Begitu sistematik sekali. Selalu aku lihat di Youtube sahaja. 


Jemaah menikmati makan dan berehat 


Suasana di luar Haram selepas solat

Kami juga sempat untuk ke Bangunan Maktab Tabung Haji untuk menjelaskan bayaran Dam Haji yang perlu kami jelaskan. Sempat lah juga aku berjumpa dengan schoolmate aku Affan sebekum dia berangkat pulang ke tanah air nanti. Di Maktab Tabung Haji kami berjumpa Ustaz yang dapat menerangkan sedikit sebanyak kemusykilan kami sepanjang melaksanakan Ibadah Haji. Alhamdullilah semuanya telah kami tunaikan. Terima kasih buat Pihak Tabung Haji yang belanja kami makan tengah hari. Seronok sekali bila dapat berjumpa dengan jemaah dari Malaysia. 


Kesibukan Kota mekah saat ini memang dapat dirasai. Hampir semua barangan di sini dijual dengan agak mahal sekali tidak seperti sebulan yang lepas. Harga teksi juga meningkat berkali ganda juga. Memang itulah situasi yang biasa berlaku bila peak season. Kita kena pandai bermain dengan harga yang mereka tawarkan. 




Kami juga mengambil peluang berjalan di sekitar lorong-lorong di kota Mekah untuk melihat sendiri bangunan-bangunan lama yang sebahagiannya masih ada di sini. Kini kepesatan pembangunan di sekitar Kota Mekah giat di jalankan. Ada sahaja construction yang sedang dalam pembinaan. 


Penat berjalan tak sah kalau tak pekena aiskrim Mekah yang paling sedap dalam dunia. Setiap kali ke Haram aku pasti makan ais krim. Hahaha.

Menikmati Aiskrim dan jus buah paling sedap dalam dunia

Aku masih belum jumpa kedai air tebu yang disebut- sebut oleh Mat Dan dalam rancangan Harmain Backpakers hari tu. Katanya air tebu paling sedap dalam dunia. Nanti aku akan cari sambil- sambil menziarah Mak Ngah aku di maktab.

Klik untuk entry aku mencari air tebu tersedap dalam dunia : PENGALAMAN MENUNAIKAN HAJI - MENIKMATI AIR TEBU PALING SEDAP DALAM DUNIA DI MEKAH

Comments