PENGALAMAN MENUNAIKAN HAJI - OPERASI MUSIM HAJI MMMSL 1438H 2017

OPERASI MEKAH METRO MUSIM HAJI 
BERJAYA...


Selepas sahaja selesai hari melontar pada 11,12 dan 13 Zulhijjah, kawasan Mina mulai lengang dengan jemaah. Kini jemaah mula tertumpu diKota Mekah iaitu di Masjidil Haram. Sayu pula bila melalui kawasan Mina ini bila ianya sudah mulai sepi dan tidak lagi sibuk seperti semalam. Tugas kami di sini sebenarnya masih belum selesai lagi, kerana masih ada lagi pengguna tren yang masih menggunakan khidmat tren ini terutamanya yang ingin kembali ke station Arafat 3.





Kami akan melaksanakan Tawaf Haji setelah kami kembali semula ke Maktab kami di Matajer sekitar 2 hari lagi. Kini kami mula sibuk mengemas dan menerima arahan dari pihak syarikat untuk langkah seterusnya. Aku juga masih melihat beberapa orang jemaah Haji dari India, Indonesia, Bangladesh dan ada beberapa orang jemaah lagi yang aku tak pasti dari mana masih menunggu wakil mereka untuk mengambil mereka di station Mina. Mereka ini kebanyakkannya telah tersesat dari kumpulan mereka dan ada juga yang menunggu barangan peribadi mereka yang di laporkan hilang. Kami disini akan membantu sebaik mungkin agar mereka dapat kembali pada kumpulan jemaah mereka.


Kerja-kerja penyelenggaraan masih dijalankan

Aku sempat berbual dengan seorang jemaah Haji dari Surabaya. Katanya dia terpisah dengan isteri dan seorang lagi adiknya. Kesian juga bila melihatnya. Tak lalu makan pakcik tu kerana mungkin terlalu bimbang. Semoga Pakcik berjumpa semula dengan isteri pakcik InshaAllah.

Control room kami kini sudah tidak sibuk lagi. Kini kami hanya menantikan saat movement tren tamat sahaja. Segala sistem signalling dan comm masih berjalan dengan lancar. Aku sempat menelefon isteri di tanah air, memberitahu kami berjaya dengan operasi Haji kali ini. 

Dapat lah kami berehat sebentar dari kesibukan kerja- kerja hampir 10 hari yang memenatkan dan agak sibuk. Di luar station aku dapat lihat timbunan sampah yang maha dasyat, serta makanan yang terbuang. Hampir disetiap sudut kawasan ada sahaja sampah sarap yang tidak dibuang dengan sempurna. Mujurlah pekerja pembersihan mulai mengutip dan membersihkan kawasan ini. Ini semua sikap manusia yang masih tiada kesedaran tentang kebersihan.

Alhamdullilah operasi tren musim Haji kali ini berjaya. Tiada insiden dan masalah besar yang kami hadapi kali ini, semua berjalan dengan lancar. Kini kami hanya menunggu untuk pulang semula ke Maktab.






Comments