Pengalaman Menuju ke Kota Madinah

Pengalaman Menuju ke Kota Madinah 

yusaini mohd yusof_ madinah_Masjid nabawi

Selesai sahaja tugasan rasmi operasi musim Haji, kami semua kembali ke Maktab kami di Matajer. Agak sibuk mengemas dan membasuh pakaian kotor kami selama 1 minggu semasa berada di Station Metro.

Dikesempatan ini kami berehat sepuasnya selepas melaksanakan Saie dan Tawaf Haji di Masjidil Haram. Suasana di Masjidil Haram ketika ini memang padat. Rata-ratanya masih melaksanakan ibadah dan menyempurnakan Haji mereka.

Kami diberi cuti 3 hari oleh pihak pengurusan untuk kami semua berehat. Di kesempatan ini aku dan sahabat yang lain plan untuk ke Madinah. Hampir sebulan lebih kami disini, ini lah waktu paling sesuai untuk kami melawat Kota Madinah.

yusaini mohd yusof_ madinah_Masjid Nabawi_umrah_Haji_Tanah Haram Madinah

Bagi memudahkan urusan dan menjimatkan masa kami mengambil pakej yang dikelolakan sendiri oleh petugas disini untuk lawatan 3Hari2Malam di Madinah. Tak perlulah kami backpakers sendiri untuk kesana. Semua sudah disediakan. Mudah dan senang.

Kami bertolak ke Madinah  dalam jam 1pm. dengan menaiki bas. Perjalanan mengambil masa hampir 6 jam dan berhenti sebanyak 3 kali semasa perjalanan. Alhamdullilah perjalanan kami semua dipermudahkan. Kami tiba di Madinah hampir lewat petang.

Nampak sahaja Menara Masjid Nabawi ketika kami mulai masuk ke bandar Madinah, hati aku telah berbunga-bunga. Indah sungguh Masjid ini dengan kerlipan cahaya lampu yang menerangi setiap penjuru Masjid Nabawi ini. Alhamdullilah akhirya kami sampai juga di Madinah. Teringat peristiwa Hijrah Nabi SAW bersama kaum Muhajirin berhijrah ke sini setelah dakwah Nabi memdapat tentangan hebat oleh Kafir Quraiys  di Mekah.

Selepas checkin hotel kami yang terletak hampir 700m dari Masjid Nabawi. Aku dan sahabat lain berjalan menuju ke Masjid untuk Solat Maghrib dan Isyak disana. Tak perlu tunggu lama untuk berehat-rehat, kerana masa adalah terhad, dan tujuan kita adalah ke Masjid Nabawi.

yusaini mohd yusof_ madinah_Masjid Nabawi_umrah_Haji_Tanah Haram Madinah

Masuk sahaja di perkarangan Masjid Nabawi, kelihatan ribuan jemaah membanjiri Masjid Nabawi. Kami masih terpinga-pinga untuk mengingat semula pintu masuk tadi dan jika kita terpisah kita jumpa di pintu gate tadi ok. Pesan sahabat kepada semua.


Melangkah masuk ke Masjid Nabawi sesuatu perasaan yang mendamaikan, sejuk dan penuh syahdu sekali. Tak tau kenapa. Hati aku tersentuh sekali melihat keunikan senibina dan kedamaian yang ketika berada di dalam masjid ini. Aku ingin bersolat di bahagian paling depan sekali.

Selesai solat Maghrib dan Isyak aku cuba mencari kawasan Raudah yang menempatkan Makam Rasullulah SAW, Saidina Abu Bakar As Siddiq, dan Saidina Umar Alkhatab. Aku juga cuba mencari 6 tiang utama di sekitar Raudah ini. Kerana setiap tiang ini ada sejarahnya sendiri. Tapi apa kan daya aku, pada pandangan aku keseluruhan tiang dalam masjid ini hampir sama sahaja.


Untuk malam ini tiada rezeki aku bersolat di dalam Raudah kerana pintu kawasan untuk memasuki Raudah telah pun ditutup oleh pihak berkuasa. InshaAllah lepas subuh nanti aku akan segera beratur di sini.


Menjelang tengah malam aku dan sahabat pulang ke hotel untuk berehat. Ikutkan hati ingin sahaja aku tidur di Masjid ini.  Esok sebelum subuh lagi aku akan ke sini... Assalamualaikum Ya Rasullullah....

Ikuti sambungan entry di Kota Madinah : PENGALAMAN MASUK KE RAUDAH MASJID NABAWI MADINAH

Comments

Popular Posts