Pendakian Ke Jabal Tsur Mekah
Jabal Tsur Bukti Persahabatan Yang Utuh
Isnin 14 Ogos, memandangkan shift aku off hari ini, jadi aku mengambil peluang untuk mendaki ke Jabal Tsur yang terletak hampir 15minit sahaja dari maktab kami di Matajer. Masa yang ada ini baik diisi sebaik mungkin, kerana hanya tinggal lebih kurang 2 minggu sahaja lagi untuk masuk musim Haji. Sudah pastinya minggu Haji akan lebih sibuk dan jadual kami akan lebih padat. Daripada hanya berehat di dorm ada baiknya aku keluarkan peluh. Kami ke sana hanya berempat. Wando ( berbaju putih ), Lan ( baju oren ), John ( baju hitam) dan aku lah.
Kami bertolak dari maktab selepas Asar dan ingin menunaikan solat Maghrib dipuncak sebelum turun semula. Pendakian yang mengambil masa hampir 1 jam setengah bagi kategori badan seperti aku ini, agak melelahkan juga. Ketinggian Jabal Tsur lebih kurang 770m dari aras laut. Bagi mereka yang selalu melakukan aktiviti hiking pasti tiada masalah. Sila pastikan anda membawa air yang mencukupi semasa pendakian kerana mendaki di siang hari dan cuaca yang agak panas membolehkan anda cepat letih. Tapi tak perlu bimbang kerana terdapat 3 pit stop di atas sana yang menjual air.
Jabal Tsur merupakan saksi sejarah perjuangan Rasulullah bersama Saidina Abu Bakar di mana tempat ini telah dijadikan perlindungan dari di kejar oleh kaum Kafir Quraisy semasa penyebaran Islam ketika itu. Ia juga boleh dikatakan sebagai tanda semangat setia kawan dan nilai persahabatan yang tinggi bila mana Saidina Abu Bakar tetap setia bersama Rasulullah biarpun dirinya sendiri tersiksa menahan bisa ular yang mematuknya semasa menjaga Rasulullah semasa persembunyian mereka selama 3 hari 3 malam.
Menurut sejarah lagi, kaum Kafir Quraisy tidak dapat menemui mereka kerana bantuan daripada Allah dimana, kawasan gua kecil tempat Rasulullah dan Saidina Abu Bakar berlindung, telah dilindungi sarang labah- labah seperti sudah lama di tinggalkan. Ia mengingatkan aku sewaktu aku sekolah rendah dahulu bila kami mencari labah-labah ( spider ) untuk dilagakan. Dan kami di marahi cikgu kerana cikgu mengatakan jangan menganiaya labah-labah , kerana spider tu lah yang menolong Nabi. Ketika itu, manalah aku nak faham dan kami tetap juga berlaga spider.
Kawasan rehat dan rawat ini boleh lah anda singgah sebentar untuk berehat sebelum meneruskan pendakian. Jika anda terlihat dan bertemu dengan peminta sedekah, boleh lah bersedekah kepada mereka, sekurang-kurangnya kehadiran mereka di sini boleh dijadikan teman bila anda mendaki di waktu malam kerana anda tidak berseorangan di tempat ini.
Pendakian ke Jabal Tsur merupakan pendakian yang cukup mempersonakan. Dari ketinggian ini, kita dapat melihat view yang cukup indah di mana hampir keseluruhan kawasan ini hanya dikelilingi gunung ganang yang cantik. Dari kiri kita dapat lihat sekitar bandar Mekah dan menara Jam Mekah .
Nampak sahaja sign yg ditulis "Jabal Tsur" di batu besar ini bererti anda sudah hampir sampai di puncak. Manakala gua Tsur berada di atas. Vandalisme disini sudah menjadi kebiasaan kerana terdapat banyak tulisan dan spray nama-nama mereka yang datang ke sini. Pada aku ini tidak bagus. Sampah sarap dan botol minuman bersepah di mana sahaja. Jika anda datang ke sini ada eloknya anda bawa plastik sampah sekali. Mana yang boleh kita angkut buang,kita buang. Tempat sejarah seperti ini harus dijaga. Sama juga semasa di Jabal Nor( gua Hira ).
Kami sampai di puncak ngam-ngam masuk waktu Maghrib. Ramai juga yang ada di puncak, dan kami semua berjemaah Maghrib bersama-sama. Pemandangan waktu malam dari puncak Jabal Tsur memang cantik. Kawasan kota Mekah di sinari lampu yang cukup mempersonakan. Usai Maghrib kami semua turun semula dengan meninggalkan seribu pengalaman....
Comments
Post a Comment